Elvira muncul pendahulu pusingan ketiga dengan catatan keseluruhan 13 di bawah par 203 pukulan selepas melakukan enam di bawah par, hari ini, di Kelab Golf Saujana & Country, Shah Alam.

Sebelum ini, Elvira mengakui memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan driver Callaway baharunya, namun, hari ini dia sudah mula serasi mengendalikannya.

“Saya beranggapan driver yang digunakan telah membantu dengan amat baik pada hari ini, malah, kakitangan Calllaway juga telah bekerja keras mempersiapkan driver saya untuk aksi kejohanan ini.

“Keserasian dengan driver telah membuatkan saya mula bersemangat untuk mencatat skor terbaik. Setiap pukulan tee saya juga amat baik, malah, menyumbang kepada catatan hari ini,” katanya.

Hari ini, Elvira melakukan tujuh birdie dan hanya membuat kesilapan ketika pukulan putt di lubang 11 yang menyebabkan dia meraih satu bogey. Seandainya dalam saingan akhir, esok, Elvira kekal konsisten, maka, dia berpeluang menamatkan penantian empat tahun tanpa gelaran dalam siri Jelajah.

Kali terakhir pemain ranking 237 dunia itu meraih gelaran dalam siri Jelajah ialah pada 22 Ogos 2015 selepas menjuarai Trofi Rolex.

Dalam aksi pusingan terakhir, esok, Elvira dijangka berdepan saingan sengit daripada pemain Amerika Syarikat, David Lipsky yang mencatat keseluruhan 11 di bawah par 205 pukulan untuk berada di tangga kedua.

Sementara itu, pendahulu hari kedua kejohanan, Thomas Pieters dari Belgium gagal kekal konsisten apabila mencatat keseluruhan dua di bawah par 214 pukulan selepas melakukan enam di atas par hari ini. Catatan itu menyebabkan Pieters tersungkur di kedudukan 42.