Suasana pilu dan hiba menyelubungi kawasan pengebumian yang turut dihadiri oleh sahabat handai dan juga saudara mara Allahyarham.

Jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Subang pagi tadi sebelum dibawa ke rumahnya di Taman TAR, Ampang untuk solat jenazah.

Arie Irawan, 28, meninggalkan seorang isteri, Wan Edna Marina Wan Malik.

Sementara itu, jurucakap keluarga Arie Irawan, Timothy Low mengucapkan terima kasih kepada sahabat dan kenalan yang datang berziarah.

Timothy berkata keluarga itu juga mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di Bangkok dan Konsul Jeneral Malaysia di Guangzhou, Kementerian Luar dan individu tertentu yang membantu mempercepat urusan membawa pulang jenazah.

Arie Irawan dilaporkan mati di bilik hotelnya di Sanya, China pada Ahad.

Beliau berada di sana kerana menyertai Kejohanan Sanya, acara kedua dalam musim PGA Tour Series-China 2019.

Arie Irawan menjadi pemain profesional pada April 2013.

Pada Januari 2015, beliau meraih kemenangan pertama pada Official World Golf Ranking points event di Kejohanan Sime Darby Harvard PGM di Asian Development Tour dan dengan itu, Irawan menjadi pemain golf di kedudukan teratas di Malaysia dalam ranking dunia. - BERNAMA