Pemenang 20 kali Grand Slam yang tidak dimamah usia itu, memburu rekod kejuaraan ketujuh di Melbourne Park dan buat kali ketiga berturut-turut, mudah melepasi halangan Denis Istomin pada pusingan pertama, tetapi untuk aksi pusingan kedua dia diberi tentangan sengit oleh pemain No. 189 dunia.

“Saya fikir jika saya mampu mempamerkan persembahan lebih baik pada awal permainan, pertemuan itu mungkin berbeza,” kata pemain Switzerland berusia 37 tahun itu yang memerlukan 2 jam 35 minit untuk menundukkan lawan berusia 28 tahun tersebut.

Evans, yang mengalami kejatuhan ranking mendadak daripada kedudukan terbaik No. 41 dunia selepas menjalani penggantungan yang panjang ekoran didapati positif doping pada April 2017, mempamerkan aksi hampir sempurna sehingga memaksa Federer bermain dalam tie-break pada set pertama.

Pemain itu turut menunjukkan keberaniannya apabila mendahului 5-3 dalam tie-break sebelum Federer mengorak langkah mengutip empat mata berikutnya bagi mengakhiri set pembukaan dalam tempoh sejam.

Sementara itu, dalam saingan wanita, juara bertahan, Caroline Wozniacki tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan ketiga setelah mempamerkan persembahan meyakinkan untuk mengetepikan saingan pemain Sweden, Johanna Larsson.

Pilihan ketiga dari Denmark itu berjaya keluar daripada perangkap permainan rali pemain No. 77 dunia tersebut untuk meraih kemenangan 6-1, 6-3 dan meneruskan pemburuan muncul selaku wanita pertama mempertahankan gelaran Terbuka Australia sejak 2013.

“Saya rasa saya bermula dengan agak baik, saya beraksi agresif, tetapi dia mula kurang melakukan kesilapan dan saya pula cuba terus beraksi konsisten,” kata Wozniacki, 28, yang tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit rheumatoid arthritis yang dihidapi mengganggu persembahannya. – AFP