Gimnas berusia 24 tahun itu mengakui kegagalan meraih sebarang pingat dalam Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya sebaliknya dia mahu membuktikan kepada peminat sukan tanah air bahawa dia mampu mempamerkan peningkatan prestasi di Jakarta nanti.

Farah Ann yang berjaya mara ke final acara keseluruhan bagaimanapun sekadar menduduki anak tangga ke-12 di Gold Coast.

Katanya, berbaki kira-kira tiga bulan sebelum Sukan Asia membuka tirainya, pasukan gimnastik artistik negara kini sedang giat dalam proses latihan bagi memastikan mereka dilengkapi dengan teknik dan rutin yang lebih baik.

“Buat masa sekarang kami (Farah dan pasukan) kini tidak terlibat dengan mana-mana kejohanan. Jadi tumpuan saya hanya terhadap latihan bagi memastikan saya dapat buat rutin dengan lebih sempurna nanti,” katanya.

Anak didik jurulatih Nataliya Sinkova dan Ng Shu Wai itu berkata, dia akan menerima saingan yang lebih sengit berbanding di Sukan Komanwel dengan adanya pencabar dari China, Jepun serta Korea Selatan di Sukan Asia.

Namun, Farah Ann percaya dia mampu memperbaiki pencapaian pada edisi kali ini berbanding dalam edisi lepas di Incheon, Korea Selatan pada 2014 di mana dia berakhir di kedudukan ketujuh bagi acara individu dan keseluruhan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan jurulatih gimnastik negara, Shu Wai berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberi peluang kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) menghantar wakil acara berpasukan dalam Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Acara berpasukan tidak dipertandingkan dalam Sukan Asia Incheon empat tahun lalu. – BERNAMA