Satu pingat emas, satu perak, satu rekod kebangsaan serta dua rekod temasya membolehkan pemanah Sabah berusia 18 tahun itu mengatasi pencapaiannya ketika membuat kemunculan sulung dalam Sukma Sarawak 2016 apabila dia sekadar meraih sebutir emas.

Eugenius yang sedang berdebar menanti keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 selepas mengambil aliran sains tulen di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu mengakui, dia mengimpikan untuk menggalas cabaran negara dalam Sukan SEA Filipina yang akan berlangsung dari 30 November hingga 11 Disember, tahun ini.

“Berdasarkan pencapaian di Sukma 2018, saya meletakkan harapan untuk menyertai skuad kebangsaan, namun semua bergantung kepada keadaan kerana prestasi atlet dipantau secara purata, selain menunggu keputusan NAAM (Persatuan Kebangsaan Memanah Malaysia) dan MSN (Majlis Sukan Negara).

“Kalau ada peluang memang saya mahu beraksi dalam Sukan SEA 2019, namun saya tidak boleh letak harapan yang terlalu tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Begitupun tegas Eugenius, seandainya tiada rezeki dan tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan, dia tidak akan sesekali berputus asa, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada kepada pelajaran.

“Kalau ada peluang saya sertai skuad kebangsaan jika tidak saya fokus kepada pelajaran. Saya mahu menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

“Begitupun, saya perlu melihat universiti mana yang menyediakan kemudahan sukan memanah ini,” katanya lagi, yang mengakui jarang turun berlatih disebabkan lebih memberi tumpuan kepada pelajaran.

Berkongsi tentang pembabitannya dalam sukan tersebut, Eugenius berkata dia bermula seawal usia 12 tahun selepas secara tidak sengaja mengikut bapa saudaranya ke lapang sasar.

“Kebiasaannya, pada hari persekolahan saya tidak dapat melakukan latihan kerana sesi persekolahan tamat pada pukul 4 petang cuma pada hari Jumaat sahaja kerana kami dibenarkan pulang awal.

“Setiap Jumaat saya akan mula berlatih pada pukul 3 hingga 6 petang. Sabtu dan Ahad juga saya meneruskan latihan saya pada pukul 2 hingga 6 petang.

“Sebenarnya sukan memanah pada mulanya sekadar hobi, lagipun tahun lalu saya menduduki SPM, jadi saya jarang berlatih. Namun, selepas mendapat keputusan yang cukup cemerlang, sudah pasti saya akan lebih serius jika berpeluang ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.