Beraksi selepas terlebih dahulu menyaksikan tiga rakannya dalam kategori wanita memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia di Padang Sintetik MSN, Bukit Jalil, Mohd. Juwaidi kemudian hanya perlu membidik lima mata menerusi anak panah terakhir untuk menewaskan trio Singapura tetapi dia melakukan lebih baik daripada itu untuk mereka menang 228-222, sekali gus mengekalkan pencapaian dua tahun lalu.

Ini merupakan pingat kedua Mohd. Juwaidi selepas menangis kerana sekadar memperoleh perak dalam kategori individu semalam, apabila tewas hanya satu mata kepada wakil Indonesia, Prima Wisnu Wardhana yang mengumpul 145 mata.

Bagaimanapun, kali ini dia bersama Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip sentiasa tenang walaupun pada awalnya sedikit ketinggalan sebelum bangkit untuk menumpaskan Teng Ang Han, Alan Lee Chung Hee dan Jin Pang Toh dalam pusingan akhir.
Mohd. Juwaidi, yang merupakan ketua pasukan, kemudian berkata kemenangan itu adalah hadiah kepada isteri serta anak sulungnya yang dilahirkan pada 5 Julai lalu.

“Kemenangan ini sangat bermakna kepada Malaysia, lebih-lebih lagi setelah kita gagal mendapat sebarang pingat semalam dalam acara perseorangan semalam,” katanya, menambah isterinya tidak dapat hadir untuk memberikan sokongan kepadanya kerana masih dalam pantang.

Pada peringkat awal persaingan, keupayaan pemanah Singapura memungut mata lebih tinggi secara konsisten mendebarkan penyokong Malaysia di bangku penonton termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Namun menurut Mohd. Juwaidi, semangat dan pengalaman yang diraihnya serta Zulfadhli daripada aksi penentuan pingat emas dan gangsa semalam membuatkan pasukan Malaysia tenang untuk bangkit.

“Aksi akhir ternyata membawa tekanan kepada pasukan. Mata panahan antara lapan dan sembilan adalah normal memandangkan tekanan amat tinggi.

“Namun hasil kata-kata semangat sesama kami, pasukan berjaya menghadapi tekanan untuk kembali memungut mata yang lebih tinggi bagi setiap panahan yang dibuat,” katanya, yang berulang-alik antara Ipoh dan Kuala Lumpur untuk menjalani latihan.