Setiausaha Agung ESM, Hisham Darus berkata, mereka yang disaring daripada ujian pemilihan dan kelayakan kebangsaan pada 4 dan 5 Mei lalu, akan ditempatkan di Pusat Sukan Elektronik Orange, Setapak, Kuala Lumpur dalam kem latihan pusat mulai Ogos ini.

“Skuad negara akan mengambil bahagian dalam acara permainan Dota 2, Starcraft 2, Mobile Legends: Bang Bang, Arena of Valor dan Tekken 7 dalam Sukan SEA.

“Secara minimumnya kami sasarkan sebutir pingat emas,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN)-ESM di Bukit Jalil hari ini yang dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Katanya, pusat di Setapak itu dipilih bagi membiasakan atlet-atlet dengan suasana pertandingan sebenar selain memenuhi tawaran pemiliknya yang mahu membantu persiapan pasukan negara selain berpengalaman menganjurkan beberapa pertandingan e-sukan.

“Strukturnya macam pertandingan sebenar, amat cantik. Pemiliknya pun amat membantu. Walaupun MSN boleh menempatkan atlet berlatih di Bukit Jalil, saya rasa di Setapak lebih sesuai, tidak perlu hendak dibina struktur baharu.

“Sekarang ialah proses kedua pemilihan atlet. MSN akan buat surat tawaran kepada mereka dengan syarat tertentu seperti kena jalani ujian kecergasan, perubatan dan latihan sepenuh masa. Bagi yang mereka sudah berkarier, kami kena bincang semula,” kata Shapawi.

Mengenai sama ada skuad e-sukan turut memerlukan khidmat jurulatih, katanya mereka sedang menimbang pilihan tersebut.

“Calonnya seseorang yang berpengalaman dan biasa menang kejohanan sebagai panduan kepada atlet,” katanya. - UTUSAN ONLINE