Dalam perlawanan tersebut, Djokovic tidak diberikan laluan mudah oleh Denis Shapovalov untuk mara ke pusingan keempat yang menyaksikan pemain No.1 dunia itu terpaksa bergelut sebelum mencatat kemenangan di Rod Laver Arena dengan keputusan 6-3, 6-4, 4-6, 6-0.

Sementara itu, bekas pemain wanita No. 1 dunia, Williams tidak berdepan masalah untuk mendapatkan kemena­ngan ke atas lawannya Dayana Yastremska dari Ukraine 6-2, 6-1.

Kata Williams, dia tetap memuji kesungguhan dipamerkan lawannya yang berusia 18 tahun itu, biarpun, sedar bakal berdepan halangan sukar.

“Dia telah mempamerkan aksi yang sungguh menakjubkan dalam perlawanan tersebut dan dia juga adalah pemain yang muda yang beraksi dalam kejohanan ini,” kata Williams.

Dalam pada itu, bintang tenis remaja Jepun, Naomi Osaka terpaksa berdepan ujian getir sebelum berjaya menempah slot ke pusingan 16 akhir Terbuka Australia selepas menewaskan Hsieh Su-wei dengan keputusan 5-7, 6-4, 6-1.

Juara Terbuka Amerika Syarikat itu tewas dalam set pertama dan ketinggalan 1-4 pada set ke­dua sebelum dia bangkit mencatatkan kemenangan dalam saingan hampir dua jam itu.

Sasaran utama Osaka musim ini adalah untuk muncul sebagai pemain wanita pertama me­raih dua gelaran Grand Slam berturut-turut selepas Serena Williams berbuat demikian pada 2014 hingga 2015. – AGENSI