Dayang dipilih membawa lagu tema utama KL2017 bertajuk Bangkit Bersama hasil gubahan komposer terkemuka, Datuk Ramli MS.

Menurut penyanyi kelahiran Sarawak itu, lagu yang dinyanyikan itu amat istimewa dan berlainan dengan emosi lagu yang dinyanyikannya sebelum ini.

“Apa yang istimewanya ialah lirik lagu ini dicipta oleh rakyat Malaysia sendiri. Dayang boleh rasai semangat bersatu hati ketika membawa lagu ini.

“Pada mulanya Dayang risau jika tidak dapat membawa lagu ini dengan baik tetapi selepas berlatih, berbincang baris demi baris mengenai lirik lagu itu serta mendapat bimbingan daripada Tok Ram (Ramli MS), Dayang boleh rasa semangatnya.

“Ketika rakaman lagu ini juga tidak mengambil masa yang lama kerana sewaktu berada di studio, Dayang dapat rasa ramai yang menyanyi bersama walaupun hanya Dayang seorang sahaja. Itulah emosi semangat yang Dayang rasakan,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pavillion, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dayang menganggap peluang ini sekali seumur hidup buatnya dan mahu menjadikan sejarah diri sendiri untuk tempoh 10 atau 20 akan datang.

“Tentu Dayang ambil peluang ini 100 peratus, tidak buat sambil lewa kerana semua orang tahu sukan menyatukan  masyarakat.

“Dayang teruja kerana dapat membawa rakyat Malaysia bangkit bersama menyokong atlet negara. Dayang harap kita dapat banyak pingat emas sebab atlet kita terbaik,” jelasnya.