Yusri mengakui bahawa anak didiknya berada dalam keadaan tertekan tetapi mereka harus segera bangkit memburu mata pertama selepas mengharungi empat perlawanan.

"Selepas kekalahan kepada Melaka United 0-2 hari ini (malam tadi) tekanan meluap-luap, saya tidak mahu menunjukkan diri tertekan di hadapan para pemain kerana saya tahu mereka lebih tertekan.

Tiada jurulatih yang mahukan kekalahan demi kekalahan, saya menerima keputusan ini walaupun berat dan akui kami masih jauh ditinggalkan daripada banyak aspek, tetapi kami sudah tentu mahu meningkatkan prestasi untuk menentang Selangor," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super antara pasukan Melaka United dan Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, skuad 'The City Boys' tumpas 0-2 kepada tuan rumah menerusi jaringan Darko Markovic dan Mohd Nazrin Nawi masing-masing pada minit ke-14 dan minit ke-16.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Yusri berkata secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan kesungguhan dan semangat yang dicurahkan pasukan walaupun tidak gembira dengan keputusan kekalahan itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan berkata misi mendapatkan tiga mata dalam perlawanan itu tercapai dan ia amat penting untuk memastikan pasukan itu berada dalam kelompok pasukan lima terbaik.

"Kejayaan malam ini telah mengembalikan semula tahap keyakinan para pemain dan saya berpuas hati dengan disiplin yang ditunjukkan oleh setiap pemain," katanya. - BERNAMA