Wenger diberi sambutan yang sewajarnya pada perlawanan terakhir di Emirates, semalam, selepas Arsenal mempamerkan persembahan memukau dengan membelasah Burnley 5-0.

Pada perlawanan yang menyaksikan Gunners mendominasi saingan, Arsenal melakukan penghormatan dengan menyempurnakan upacara kawal hormat buat Wenger dan turut menghadiahkan trofi emas istimewa yang pernah diterima kelab itu kerana menjuarai Liga Perdana Inggeris tanpa tewas sewaktu musim 2003/04.

“Saya telah melakukan segala-galanya di stadium ini, daripada sidang akhbar bersama anda sehinggalah ke kawasan teknikal, jadi ia menjadi sebahagian daripada kehidupan saya.

“Boleh saya katakan, lelaki yang menguruskan kelab selama 22 tahun, tidak ramai. Saya amat bertuah dapat menikmati keselesaan sepanjang melaksanakan tugas untuk satu tempoh yang begitu panjang.

“Dalam erti kata lain, saya perlu menghargai setiap minit saya pernah berada di sini, tetapi dalam masa sama ia juga merupakan satu permulaan hidup yang baharu buat saya,” kata Wenger, yang diberi sambutan sebagai wira sebaik perlawanan berakhir.

Lima gol Arsenal diledakkan oleh Pierre-Emerick Aubameyang (minit ke-17, ke-75), Alexandre Lacazette (minit ke-48), Sead Kolasinac (minit ke-54) dan Alex Iwobi (minit ke-64). - AFP