Bagaimanapun, penyerang Arsenal, Danny Welbeck, yang jarang diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama beberapa jam selepas namanya diumumkan berada dalam skuad England, terpaksa diusung keluar padang setelah mengalami kecederaan buku lali yang serius sewaktu babak pertama permainan.

Pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi dan Aaron Ramsey tidak dapat menyembunyikan rasa sedih mereka setelah Welbeck yang akan tamat kontrak pada penghujung kempen ini, terjatuh selepas melompat untuk melakukan tandukan.

Welbeck diberikan oksigen, sebelum diusung keluar dan penyerang itu turut menerima penghormatan daripada penyokong tuan rumah yang berdiri sambil memberikan sorakan gemuruh kepadanya.

“Terpaksa bermain selepas menyaksikan rakan sepasukan ditimpa kecederaan benar-benar menguji kekuatan mental, tetapi kadang kala ia berlaku dalam sesebuah perlawanan, dan Danny sering berdepan dengan kecederaan.

“Kami berharap yang terbaik untuknya dan akan terus memberikan dorongan serta motivasi kepada dia agar dapat kembali beraksi,” kata pemain sayap, Alex Iwobi kepada BT Sport.

Skuad bimbingan Unai Emery itu jelas merupakan pasukan lebih baik di Emirates menentang pencabar yang telahpun menggunakan tiga pengurus berbeza pada penggal ini, tetapi terpaksa berpuas hati mengutip satu mata, walaupun Sporting beraksi dengan 10 pemain selepas bekas bek tengah Barcelona, Jeremy Mathieu dibuang padang.

Namun, Arsenal tetap melayakkan diri ke peringkat 32 terbaik, selepas Vorskla Poltava tewas 0-1 di laman sendiri menentang Qarabag dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E. - AFP