Penyerang England berusia 28 tahun itu bakal melengkapkan perpindahan bernilai 20 juta pound (RM110 juta) pada bila-bila masa selepas lulus ujian kesihatan semalam, malah sudah mencapai persetujuan mengenai butiran kontrak dengan skuad The Toffees.

Walcott dilihat hadir di pusat latihan Everton, Finch Farm, petang semalam dan sudah bersedia menurunkan tandatangan yang bakal menyaksikan dia bergan­dingan dengan Wayne Rooney di Goodison Park.

Pengurus Everton, Sam ­Allardyce yang baru membawa ma­suk penyerang Turki, Cenk Tosun dari Besiktas pada awal bulan ini percaya, kehadiran Walcott akan menguatkan jentera pasukannya yang kini menghuni tangga kesembilan dalam Liga Perdana Inggeris.

Pada ketika Piala Dunia di Rusia hanya tiga beberapa bulan untuk membuka tirai, Walcott cukup terdesak untuk beraksi lebih kerap bagi membolehkannya dipilih menggalas cabaran England.

Selain Walcott, rakan senegaranya, Daniel Sturridge juga kini gigih mencari ‘talian hayat’ untuk memburu tempat dalam skuad England pada kempen Piala Dunia yang berlangsung dari 14 Jun hingga 15 Julai.

Kelab Sepanyol, Sevilla dikatakan bersedia menjadi penyelamat penyerang Liverpool itu andai u­saha mereka untuk mendapatkan penyerang Chelsea, Michy Batshuayi gagal.

Dengan memiliki jentera sera­ngan ampuh diketuai Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino, Sturridge sukar mendapat perhatian Jurgen Klopp, apatah lagi dia memiliki rekod kece­deraan yang menakutkan.

Akhbar Sepanyol, AS melaporkan, Sevilla mahu mendapatkan Sturridge secara pinjaman dan bersedia membayar gaji 150,000 pound (RM820,000) seminggu.

Namun begitu, Liverpool meletakkan harga 30 juta pound (RM164 juta) untuk pemain yang turut dikaitkan dengan kelab Itali, Inter Milan. – AGENSI