Pengalaman buruk pada temasya 2015 di Singapura bagai­manapun mengiringi skuad bawah 23 tahun (B-23) bimbi­ngan Datuk Ong Kim Swee, apatah lagi mereka turut bergelut ketika mengalahkan Brunei 2-0 pada peringkat kumpulan ketika itu.

Dalam temasya dua tahun lalu, Malaysia juga bergelut untuk menundukkan pasukan kerdil Timor Leste dalam perlawanan pembukaan selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir sejam apabila pemain te­ngah, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dilayangkan kad merah kerana meludah pemain lawan.

Gara-gara tindakan itu, Nazmi digantung enam perlawanan dan terus dihantar pulang, sekali gus menyebabkan Kim Swee kehilangan seorang pemain bagi mengharungi baki saingan peringkat Kumpulan B.

“Dua tahun lalu kami terpaksa bertungkus-lumus untuk menewaskan Brunei dan saya percaya mereka juga sudah bersedia de­ngan baik kali ini.

“Persediaan berjalan lancar, namun saya percaya bukan sahaja Malaysia tetapi pasukan lain pun sama. Semua mahukan emas dan ingin mara ke pentas akhir.

“Pertemuan esok tidak mudah buat kami dan tidak kira pun siapa lawan yang bakal dihadapi, namun lebih baik saya memberi tumpuan kepada pasukan sendiri daripada memikirkan kelebihan lawan.

“Dalam kelayakan Kejuaraan B-23 AFC di Bangkok (bulan lalu) pemain hanya mendapat dua kad kuning, ini menunjukkan pasukan kita semakin berdisiplin dan saya harap perkara ini berterusan, tetapi kita tidak boleh jangka apa akan berlaku di dalam padang.

“Saya tidak mahu lagi perkara atau insiden yang sama berlaku seperti di Singapura dua tahun lalu yang menjejaskan kekuatan kita dari segi pemilihan pemain,” kata Kim Swee dalam sidang ­akhbar perlawanan di sini, hari ini.

Dua tahun lalu, Malaysia berjaya menewaskan Brunei , namun anak-anak buah Kim Swee terpaksa menanti sehingga minit ke-71 dan minit ke-77 untuk menembusi gawang lawan menerusi percubaan Nurridzuan Abu Hassan dan Adam Nor Azlin.

Bagaimanapun, dalam kempen tersebut skuad kendalian Kim Swee ditunjuk jalan keluar lebih awal selepas menduduki tempat ketiga Kumpulan B di belakang juara bertahan, Thailand dan Vietnam.

Kali terakhir Malaysia muncul juara Sukan SEA adalah pada temasya di Indonesia 2011, iaitu dua tahun selepas merangkul kejuaraan pertamanya dalam tempoh 20 tahun temasya Laos 2009.

Selain Brunei, pasukan negara turut diundi bersama Singapura, Myanmar dan Laos.