Pengendali dari Portugal itu mengakui, dia sedang melalui detik terburuk dalam kariernya sebagai jurulatih, namun menganggap masa depan bola sepak mahu pun dirinya sendiri belum berakhir biarpun Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2019.

Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara semalam menjadikan Malaysia pasukan pertama tersingkir dalam Kumpulan B dengan hanya mengutip satu mata selepas tamat lima perlawanan.

“Memang saya tidak kecewa dengan keputusan ini dan ia rekod terburuk saya (sebagai jurulatih). Apapun, ia (cabaran) belum berakhir walaupun Malaysia sudah tersingkir daripada kelayakan Piala Asia.

“Malaysia mempunyai pemain muda yang berpotensi untuk masa depan, namun saya memerlukan masa untuk membentuk pasukan yang mantap. Mungkin dalam tempoh kurang dua tahun lagi kita mampu tewaskan Korea Utara. Sekarang sasaran utama kami adalah Piala AFF tahun depan,” kata Vingada kepada pemberita di sini, semalam.

Ketika ditanya adakah dia bimbang ranking skuad negara akan merosot lebih teruk selepas kekalahan ini, Vingada mengakui tidak terlalu memikirkan mengenai kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Saya lebih bimbang dengan kekalahan berbanding ranking. Ranking tidak menunjukkan keupayaan sebenar pasukan.

“Jadi, ranking bukan keutamaan saya. Mungkin saya boleh minta adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan ranking bawahan seperti Brunei bagi mendapatkan mata dalam ranking.

“Tapi ia tidak membantu meningkatkan prestasi Harimau Malaya, kami perlukan pasukan lebih baik untuk diuji dan pada masa sama pemain boleh belajar banyak perkara,” ujarnya yang dilantik sebagai jurulatih pada Mei lalu. - UTUSAN ONLINE