Nelo Vingada
NELO VINGADA

Malaysia dibolosi lapan gol dalam dua pertemuan kelayakan Piala Asia 2019 dengan Korea Uta­ra pada Jumaat dan Isnin lalu apabila kalah 1-4 dalam kedua-dua perlawanan di Buriram.

Kekalahan itu melebarkan rekod buruk Vingada yang belum menang dalam tujuh perlawanan. Hanya keputusan seri de­ngan Syria dan Myan­mar dalam perlawanan persahabatan dan Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia sejak jurulatih dari Portugal itu menggantikan Datuk Ong Kim Swee Mei lalu boleh dibanggakannya setakat ini.

Mengulas mengenai kritikan terhadapnya, Vingada berkata dia menerimanya dengan hati terbuka dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang telah berlaku.

“Saya tidak negatif walaupun ramai yang mengkritik. Bukan mudah (untuk mengendalikan Harimau Malaya). Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan ini,” katanya.

Malah, jurulatih digelar Profesor itu bersedia melepaskan jawatan, tetapi mahu pihak yang mengasaknya memikirkan dua perkara berikut.

“Jika ketibaan saya boleh menyelesaikan semua masalah sedia ada dalam skuad kebangsaan mahu pun pengunduran saya membolehkan skuad ini menjadi lebih baik, anda berikan saya surat (letak jawatan) saya akan tandatanganinya.

“Lihat, saya sukakan Malaysia, pemain kita juga ada kemampuan. Berikan saya masa. Saya yakin setahun dua lagi kita boleh bangkit.

“Kita bukan mahu menang semata-mata, tetapi sekurang-kurangnya boleh memberikan tentangan hebat kepada pasukan di kedudukan yang lebih tinggi daripada kita (dalam ran­king dunia),” katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini bersama skuad kebangsaan.

Sabtu lalu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu, pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Teknikal, Peter De Roo sebaik sahaja skuad kendalian Vingada pulang dari Thailand untuk mencari jalan menambah baik prestasi Harimau Malaya.

Vingada turut memfokus kepada faktor-faktor kekalahan mereka dalam dua perlawanan dengan Korea Utara di Buriram, Thailand dengan kekangan masa dalam membuat persedia­an, selain kelewatan beberapa pemain penting melaporkan diri ke dalam kem latihan antara penyumbang utama terhadap kekalahan itu.

“Saya tidak menyalahkan kelewatan menghadiri kem latihan dan kesuntukan masa 100 peratus, tetapi perkara ini adalah antara penyumbang terbesar dalam kekalahan.

“Bagi saya kesukaran itu biasa, kalau saya diberikan ramai pemain sehebat mana pun, kesukaran dan cabaran tetap ada, cuma dari sudut yang lain. Namun kita seharusnya akur dengan kekalahan dengan pasukan yang lebih baik daripada kita,” ujarnya.