“Kalau pemergian saya dapat menyelesaikan segala masalah yang membelenggu pasukan kebangsaan ketika ini, siapkan surat dan saya boleh tandatangani serta merta,” kata jurulatih kelahiran Portugal itu ketika ditemui sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Vingada menegaskan, dia tidak melihat prestasi hambar yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika tewas 1-4 kepada Korea Utara dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand sebagai satu kegagalan, sebaliknya mengambil keputusan itu dari sudut positif.

Dia juga tidak menganggap semua kritikan yang dilempar kepadanya sebagai sesuatu yang negatif, namun dalam masa sama mahu semua pihak tahu bahawa tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya tidak mudah dan kejayaan tidak boleh diraih dalam tempoh singkat.

“Saya mengambil tanggungjawab atas keputusan yang diraih kerana apabila kita tewas, saya yang mengalami kekalahan dan apabila menang, pasukan yang meraih kemenangan.

“Sememangnya tujuh perlawanan tanpa kemenangan bukan satu keputusan yang baik kerana saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini tetapi saya yakin senario ini pasti akan berbeza pada tahun depan,” katanya lagi.

Selepas membimbing Malaysia dalam tujuh perlawanan sejak tiba di negara ini pada Mei lalu, Vingada masih belum mencatat sebarang kemenangan. Kekalahan kepada Korea Utara adalah kemuncak kegagalannya, sekali gus menyebabkan Harimau Malaya gagal ke Piala Asia. - UTUSAN ONLINE