Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, tanggungjawab sebagai pengurus pasukan merangkap ketua jurulatih kebangsaan yang diberikan kepada Vingada bermula dengan perlawanan ketiga Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, malam ini.

“Pelantikan ini dibuat kerana Tunku Presiden mahukan seorang pengurus pasukan sepenuh masa yang boleh sentiasa fokus dengan tugasannya bersama pasukan, selain memudahkan perjalanan pentadbiran pasukan dari aspek pengurusan dan kejurulatihan.

“Terima kasih diucapkan kepada Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal yang sebelum ini telah menggalas tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada dua perlawanan kelayakan terdahulu bertemu Lebanon di Larkin (13 Jun) dan Hong Kong di Melaka (5 September),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook FAM.

Malaysia ketika ini menghuni tangga tercorot Kumpulan B dengan mengumpul satu mata dalam dua perlawanan, dengan Lubnan mengunggulinya setelah meraih tujuh mata daripada tiga aksi, manakala Korea Utara dan Hong Kong masing-masing berkongsi dua mata.- UTUSAN ONLINE