Jersi baharu itu didatangkan dengan tiga rekaan khas yang menarik menggunakan warna kuning hitam untuk tuan rumah, merah untuk perlawanan di tempat lawan dan putih untuk seragam ketiga.

Pelancaran jersi baharu itu disempurnakan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di sebuah pasar raya di Seremban 2 di sini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga Tunku Besar Tampin; Pengerusi Rhino SEA, Nizamuddin Hamid dan Timbalan Presiden PBNS, Datuk Dr. Razali Ab. Malik.

BEBERAPA pemain memperagakan jersi baharu pasukan Negeri Sembilan yang akan digunakan bagi musim 201

BEBERAPA pemain memperagakan jersi baharu pasukan Negeri Sembilan yang akan digunakan bagi musim 2019. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Acara itu dimeriahkan dengan kehadiran ahli jawatankuasa eksekutif PBNS, pemain pasukan Piala Presiden, pemain pasukan Piala Belia, bekas pemain negeri ini dan lebih 2,000 orang penyokong Ultras Skuad Jang.

Tunku Syed Razman berkata, pelancaran jersi baharu itu diharap dapat memberi semangat kepada pasukan bola sepak negeri ini.

“Kami berharap dengan kehadiran Rhino SEA dapat memantapkan lagi prestasi pasukan PBNS. Semoga jersi baharu ini menjadi pemangkin semangat kepada semua pemain seterusnya mereka boleh beraksi dengan cemerlang di Liga Perdana,” katanya.

Sementara itu, Nizamuddin berkata, pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasukan kebanggaan negeri ini.

Menurutnya, jersi baharu itu dicipta untuk keselesaan para pemain agar dapat mencapai prestasi maksimum.

Majlis tersebut turut memperkenalkan kesemua pemain negeri ini untuk saingan Liga Perdana. - UTUSAN ONLINE