Video oleh ROZAIDI ZULKIFLI

Tetapi itu dahulu. Sejak Piala Dunia tujuh tahun lalu, Korea Utara tidak begitu menyerlah dan ini seharusnya membakar semangat skuad Harimau Malaya yang akan berdepan dengan mereka esok.

Malaysia akan berdepan de­ngan Korea Utara dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 sebanyak dua kali berturut-turut di sini kerana isu keselamatan menyebabkan Konfederasi Bola SEpak Asia (AFC) bukan sahaja menunda pertemuan tetapi memindahkan tempat pertandingan ke venue berkecuali.

Pertemuan dengan Korea Uta­ra esok dilihat sebagai peluang ter­akhir untuk Harimau Malaya terus bersaing merebut tempat ke pu­singan akhir Piala Asia, bermakna mereka mesti menang dalam perlawanan esok dan Isnin depan.

Malaysia dan Korea Utara kini berkongsi kedudukan tercorot di peringkat kumpulan dengan Le­banon hampir pasti layak ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu manakala satu lagi pasukan iaitu Hong Kong di tempat kedua.

Jika menang dalam kedua-dua perlawanan dengan Korea Utara, peluang untuk Malaysia meng­iringi Lebanon akan terbuka.

Ketua jurulatih Nelo Vingada berkata Harimau Malaya mampu mencipta kemenangan pertama di peringkat antarabangsa sejak di bawah kendaliannya jika pemain mempamerkan disiplin dan komitmen tinggi sepanjang 90 minit beraksi.

“Ini adalah perlawanan keempat kami dalam aksi Kumpulan B dan masih ada satu lagi slot untuk diburu selepas Lebanon selaku pendahulu kumpulan berada se­belah kaki untuk layak secara automatik ke Piala Asia 2019 nanti.

“Kini segalanya bergantung kepada kami, Hong Kong atau Korea Utara dan saya lihat secara matematiknya peluang kami masih belum tertutup. Syarat pertama untuk mencerahkan peluang adalah dengan memenangi perlawanan esok.

“Saya yakin kami mampu menamatkan badi tanpa kemena­ngan sekiranya barisan pemain memberikan seratus peratus di atas padang. Mungkin aksi terakhir menentang Hong Kong kami beraksi dengan teruk, namun esok (malam ini) segalanya akan tampil berbeza,” kata Vingada dalam sidang akhbar di Stadium I-Mobile, Buriram hari ini.

Pengendali kelahiran Portugal itu mengambil alih kerusi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya pada 25 Mei lalu dan masih belum mengecapi sebarang kemenangan dalam lima perlawanan kompetitif antarabangsa.

Mengulas lanjut, Vingada yang turut dikenali sebagai Profesor mengakui telah menemukan formula terbaik untuk meraih keputusan positif pertamanya bersama skuad kebangsaan selain berharap barisan pemainnya tidak dilayangkan kad merah seperti yang berlaku dalam dua perlawanan menentang Hong Kong sebelum ini.

“Saya akan melakukan beberapa rombakan ke atas kesebelasan utama dalam perlawanan ini kerana kami telah menerima kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sebelum ini tidak dapat mewakili pasukan seperti S. Kunanlan, Afiq (Fazail), Fazly (Mazlan) dan Azrif (Nasrulhaq),,” ujarnya. – UTUSAN