Video oleh FADHILUL IZMEL ISHAK

Skuad Datuk Ong Kim Swee mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan tersebut apabila berjaya membuka tirai jaringan hasil rembatan Safawi Rasid minit ke-27 selepas berlaku situasi kelam-kabut di depan gawang gol UAE.

Keghairahan penjaga gol negara, Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim yang keluar daripada kawasan kotak penalti hampir memakan diri apabila penyerang UAE, Zayedal Ameri berjaya menyambar bola namun rembatannya mudah dipatahkan pertahanan Malaysia.

Bersambung babak kedua, Malaysia menggandakan jaringan pada minit ke-64 hasil gerakan solo Akhyar Rashid yang bijak memperdayakan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol UAE, Abdul Rahman A. Al Ameri.

Aksi tersebut merupakan persiapan terakhir skuad kendalian Kim Swee untuk menghadapi temasya kedua terbesar di dunia itu selepas mereka tewas 2-1 kepada China dalam perlawanan persahabatan di Stadium Olimpik Changzhou, 5 Ogos lalu.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan C bakal memulakan cabaran Sukan Asia 2018 menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos dan Korea Selatan dua hari kemudian di Stadium Harupat sebelum bertemu Bahrain di Stadium Mukti pada 20 Ogos. - UTUSAN ONLINE