Kira-kira 50 peminat setia bola sepak negara yang lebih dikenali Ultras Malaya memberikan sokongan kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sejak perlawanan pertama Kumpulan C menentang Iraq pada Rabu lalu dan bertemu Jordan semalam.

Wakil Ultras Malaya, Mohd. Ridzuan Ahmad berkata adalah menjadi kebanggaan kepadanya dan rakan-rakan untuk menyaksikan persembahan Malaysia di pentas tertinggi Asia selepas layak menyertai kejohanan tersebut secara merit.

“Kami sudah lama tahu jadual perlawanan peringkat kumpulan dan memang kami melakukan persiapan awal. Bagi kami skuad B-23 negara adalah pewaris kepada skuad senior.

“Mereka berjaya beraksi dalam kejohanan tertinggi di Asia dan jika sewaktu Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu pemain mendapat sokongan padu daripada peminat mengapa tidak untuk kejohanan ini kerana berbulan kita tahu jadual perlawanan untuk membuat perancangan.

“Bagi saya sebagai rakyat Malaysia kita seharusnya memberi sokongan untuk pasukan negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Changshu semalam.

Ketika ditanya sama ada mereka berasa kerugian sekiranya Malaysia tidak layak ke peringkat suku akhir kejohanan selepas berbelanja besar, Ridzuan berkata dia dan rakan-rakannya tidak kisah kerana itu sedia berkorban demi pasukan negara.

“Saya tidak akan berasa satu kerugian jika Malaysia terpaksa pulang awal sebab ini adalah maruah negara. Memang kami mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak negara dan andai tersingkir kami menganggap ini adalah sebahagian proses pembelajaran.

“Kita boleh main dan memberikan saingan dalam kejohanan ini dan walau apa pun kami tetap memberi sokongan kepada skuad negara,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE