Video oleh ASWAD YAHYA

Jurulatih pasukan itu, Jorg Peter Steinnebrunner berkata, beliau yakin lima pemain import skuad itu tidak mengambil masa lama untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharu.

Ujarnya, pemain tersebut mempunyai karakter masing-masing dan boleh bekerjasama dengan rakan sepasukan terutama pemain tempatan.

Negeri Sembilan menggunakan lima pemain import iaitu Kim Do Heon dari Korea Selatan; Renars Rode (Latvia); Flavio Beck Junior (Brazil); Nicholas Velez (Argentina) manakala Madu M. Mohana berasal dari Singapura.

"Nicholas pernah bermain dalam liga Singapura dan Thailand manakala Flavio pula beraksi di Indonesia. Kim pula berasal dari Korea Selatan dan mereka tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri di negara ini, " kata Steinnebruner ketika sesi latihan di padang Sekolah Global Matrix, Bandar Sri Sendayan, di sini petang tadi.

Negeri Sembilan yang beraksi dalam Liga Perdana sejak empat musim lalu akan memulakan saingan dalam Liga Super menentang PKNP di tempat lawan pada 3 Februari depan.

Dalam pada itu, Steinnebrunner berkata, walaupun telah lama tidak beraksi dalam Liga Super, pasukan bimbingannya tidak akan berdepan masalah bersaing dengan pasukan utama lain.

Jurulatih itu meletakkan Johor Darul Ta'zim, Pahang dan Perak antara pasukan yang bakal memberi saingan kerana mempamerkan prestasi konsisten sejak beberapa musim lalu. - UTUSAN ONLINE