Ketua jurulatih Uzbekistan, Ravshan Khaydarov menegaskan dia hanya fokus kepada perlawanan akhir Kejohanan AFC Bawah 23 menentang Vietnam di Changzhou esok dan sebarang kejayaan masa lalu tidak boleh diambil kira.

Selepas kalah dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A kepada Qatar, skuad White Wolves kemudian merekodkan empat kemenangan berturut-turut, termasuk ke atas Korea Selatan dalam masa tambahan separuh akhir.

Perlawanan akhir esok bermakna Uzbekistan kini berpeluang meraih gelaran juara keduanya selepas memenangi Kejohanan AFC B-16 pada 2012, tetapi Khaydarov menegaskan kejayaan lalu tidak memberi sebarang makna apabila mereka bertemu Vietnam esok.

“Setiap perlawanan dalam kejohanan ini mencipta sejarah berlainan.

“Mereka boleh belajar daripada perlawanan lalu, tetapi fokus mereka mesti kepada perlawanan akhir,” tegasnya.

Seperti Uzbekistan, Vietnam juga mencapai kemuncak pada masa yang tepat selepas dikalahkan oleh Korea Selatan dalam perlawanan sulung Kumpulan D.

Sejak kekalahan 2-1 itu, kepada Korea Selatan, Vietnam telah bertarung sengit, mencipta sejarah dan mendapat tumpuan dalam laluan mereka ke perlawanan akhir.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang-seo walau bagaimanapun mengingatkan anak-anak di­diknya agar bertenang dan fokus untuk menghadapi Uzbekistan.

“Kami akan melakukan apa yang sentiasa kami lakukan. Saya telah memberitahu pemain-pemain saya supaya tenang menjelang perlawanan,” kata bekas pemain kebangsaan Korea Selatan itu.

Dua pasukan itu pernah bertemu pada Disember lalu dalam kejohanan Piala M-150 di Thailand, di mana Vietnam kalah.

Keputusan itu, serta melihat kempen Uzbekistan sepanjang kejohanan ini membuatkan Hang-seo yakin skuad Khaydarov adalah lawan yang sukar ditewaskan.

Sementara itu jaringan pada minit ke-39 oleh Afif sudah cukup untuk skuad bimbangan Felix Sanchez meraih pingat gangsa, tetapi mereka juga harus berterima kasih kepada Hassan yang menepis sepakan penalti Hwang Hyun-soo pada minit ke-49 dalam perlawanan di Kunshan. – AGENSI