United telah memulakan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan enam kemenangan dan seri dalam tujuh perlawanan awal.

Pertemuan di Anfield akan menjadi perlawanan pertama United menentang pasukan dalam kelompok enam gergasi Liga Perdana Inggeris pada musim ini.

Perlawanan di Anfield Sabtu ini juga boleh dianggap sebagai ujian untuk melihat kemampuan United memburu gelaran liga.

“Tiada apa yang mahu kami buktikan.

“Kami mempunyai objektif sendiri pada musim ini dan kami tahu ke mana arah tuju kami serta bagaimana untuk mencapainya,” kata Mourinho.

Perlawanan pertama United menentang Liverpool dalam Liga Perdana Inggeris pada musim lalu menyaksikan skuad bimbingan Mourinho sekadar pulang dengan satu mata dari Anfield selepas terikat 0-0.

Romelu Lukaku akan menge­tuai barisan serangan United Sabtu ini selepas pemain itu membuktikan dia telah cergas sepenuhnya ketika membantu Belgium menang 4-0 ke atas Cyprus pada Selasa.

Penyerang tersebut telah menjaringkan 11 gol daripada 10 perlawanan sejak tiba di Old Trafford daripada Everton musim ini.

“Saya berpendapat kami mempunyai pasukan yang lebih baik pada musim ini.

“Dalam masa sama adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa Lukaku dan Nemanja Matic tidak memberi impak besar kepada pasukan ini sebaliknya kami harus mengakui peranan penting pemain tersebut.

“Saya dapat rasakan prestasi pasukan amat baik pada musim ini berbanding musim lalu, adakah kami mampu untuk memenangi gelaran? Saya tidak tahu tetapi kami adalah yang terbaik,” kata pengurus dari Portugal itu.

Mourinho mempunyai rekod yang baik di Anfield dalam kempen Liga Perdana Inggeris. Dia hanya tewas sekali dalam tujuh kunjungannya dan selebihnya meraih empat kemenangan dan dua seri. – AGENSI