Pengarah teknikal TRW, Jorg Peter Steinebrunner berkata, kehadiran penyerang berkualiti amat diperlukan bukan sahaja untuk mendapatkan jaringan tetapi untuk memastikan pasukan kekal memberikan saingan sepanjang musim.

Menurutnya, pada masa yang sama, ia diperlukan untuk membimbing barisan muda yang beraksi di posisi berkenaan nanti.

"Berpandukan kepada persembahan semalam, saya nampak kita perlukan penyerang berkualiti.

"Masih terlalu awal untuk menilai keupayaan Diego Silva yang baharu sahaja beberapa hari menjalani latihan bersama TRW," katanya sejurus aksi persahabatan menentang Terengganu FC 1 (TFC 1) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin.

Perlawanan itu berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.

Steinebrunner memberitahu, dia akan terus memberikan peluang kepada Silva untuk memperagakan keupayaan sebenar sebelum ditawarkan kontrak untuk bersama Kelantan.

Katanya, keupayaan Silva akan diuji dalam beberapa aksi persahabatan selepas ini.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan yang diperagakan oleh barisan pemain muda Kelantan setakat ini.

"Mereka berjaya menyerap tekanan dengan mengimbangi kekuatan lawan pada perlawanan itu," katanya. - UTUSAN ONLINE