Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

TRAGEDI 2001 BERULANG

PEMAIN Malaysia sugul selepas tewas kepada Thailand 0-1 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA K 2
PEMAIN Malaysia sugul selepas tewas kepada Thailand 0-1 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Ke-29 di Stadium Shah Alam, malam tadi. – UTUSAN /Hafiz Johari

SHAH ALAM 29 Ogos - Episod sama berulang malam tadi. Penjaga gol sekali lagi merosakkan kesempurnaan kejayaan Malaysia menjadi juara Sukan SEA seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir bola sepak pada 2001 dengan keputusan serupa 1-0.

Jika 16 tahun lalu Kamarulzaman Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri di Stadium Shah Alam, malam tadi Muhammad Haziq Nadzli melakukannya menentang lawan sama digelanggang yang sama. Satu kesilapan, dan Malaysia hilang emas yang ditunggu untuk melengkapkan status juara keseluruhan temasya Kuala Lumpur 2017.

Kamarulzaman dan Muhammad Haziq melakukan kesilapan serupa iaitu gagal menjinakkan hantaran dari sebelah kiri gawang. Bezanya Kamarulzaman menepis umpanan lintang Sarawut Treephan ke dalam gawang sendiri pada minit-minit akhir perlawanan manakala Muhammad Haziq menumbuk sepakan sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38.

Walaupun kecewa dengan kekalahan pasukannya, jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee tidak menyalahkan Muhammad Haziq.

“Kami sudah memberikan cabaran kepada pasukan lawan namun gol yang dilepaskan seperti itu dilakukan pada waktu yang salah.

“Saya tahu bukan mudah untuk dia (Muhammad Haziq) menerimanya. Saya tidak menyalahkan dia dan berharap dia dapat melupakan perkara itu.

“Jadikan ini sebahagian daripada proses pembelajaran,” kata Kim Swee kepada wartawan selepas perlawanan.

Indonesia pula meraih pingat gangsa selepas bangkit pada babak kedua untuk menumpaskan Myanmar dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Kemenangan terbaru ini melebarkan rekod kejayaan Thailand dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA kepada 16 kali. Skuad yang dibimbing bekas pemain Kelantan, Worrawoot Srimaka juga mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura.

Walaupun tewas, skuad Kim Swee telah menunjukkan semangat juang yang tinggi terutama selepas rehat untuk memburu gol penyamaan walaupun cemas pada minit ke-52 apabila Chenrop Samphaodi mengatasi Muhammad Adib Zainudin sebelum melorong bola kepada Worachit Kanitsribumphen, namun kuisan pemain itu ditampan keluar oleh pemain pertahanan Adam Nor Azlin untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi kali kedua.

Tersentak dengan serangan itu, skuad muda negara mengatur serangan lebih kemas dan peluang keemasan hadir pada minit ke-78 menerusi rembatan kencang Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak dari luar kotak penalti namun bola melepasi sedikit palang gol.

Sementara itu Malaysia meraih 29 pingat emas lagi hari ini untuk menjadikan jumlah kutipan keseluruhan 140 dengan acara silat menjadi penyumbang terbesar setelah memenangi tujuh.

Lumba basikal pula menjadi penyumbang kedua terbesar dengan lima termasuk emas daripada raja keirin dunia, Azizulhasni Awang. Pingat emas lain dimenangi di gelanggang terjun (tiga), pelayaran (tiga), luncur air (tiga), muay (dua), dan masing-masing satu oleh luncur ais, polo, hoki lelaki, skuasy, sepak takraw dan badminton.

Sebanyak tujuh lagi pingat emas dipertaruhkan pada hari terakhir esok menerusi acara terjun (dua), luncur ais (empat) dan angkat berat (satu).

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain