Pemain berusia 34 tahun ini pernah berdepan pengalaman teruk sebegitu di Rusia apabila menjadi sasaran ejekan ketika City beraksi menentang CSKA Moscow, dalam kempen Liga Juara-Juara pada 2013.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan Ivory Coast itu percaya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kerajaan Rusia mampu menangani masalah berkenaan sewaktu Piala Dunia berlangsung.

“Jika situasi perkauman berlaku, ia akan menjadi masalah yang besar.

“Ketika ini semua orang bercakap mengenai Rusia dan mungkin ia menjadi lebih sukar sedikit.

“Saya juga mahu menegaskan kepada FIFA dan kerajaan di Rusia, jika mereka memerlukan bantuan maka saya boleh membantu,” kata Toure.

Insiden pemain menerima ejekan melibatkan perkauman banyak berlaku di Rusia malah pemain terkemuka seperti penyerang Brazil, Hulk dan penjaga gol Lokomotiv Moscow kelahiran Brazil, Guilherme juga pernah berdepan perkara tersebut sewaktu beraksi di negara yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 itu. - AFP