Jaminan tersebut diberikan oleh Pengerusi PSM, Tan Sri Tony Fernandes apabila berkata, pihaknya akan menjual tiket perlawanan membabitkan Harimau Malaya sepenuhnya secara dalam talian dalam usaha memberi pengalaman bertaraf dunia kepada pengunjung yang hadir.

“Semua tiket perlawanan melibatkan Harimau Malaya akan dijual di atas talian dan PSM menggunakan sistem tempat duduk bernombor. Ini akan memudahkan penyokong untuk keluar masuk ke dalam stadium dengan cepat dan selamat, selain menjamin tahap keselamatan mereka. Kami akan pastikan kos yang lebih rendah dikenakan kepada penyokong.

“Saya mempunyai banyak perancangan. Kami juga berhasrat untuk membuat muzium bola sepak serta ‘Hall of Fame’ di sini, selain kedai untuk peminat mendapatkan barangan rasmi Harimau Malaya.

“Saya akan menjadikan Stadium Wembley sebagai contoh bagi menyuntik elemen pembaharuan kepada Stadium Nasional Bukit Jalil kerana saya mahu menghidupkan stadium ini,” kata­nya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Bukit Jalil, hari ini.

Dalam perjanjian tersebut, Stadium Nasional Bukit Jalil akan dijadikan laman rasmi skuad kebangsaan bagi mana-mana perlawanan hingga 31 Disember ini dengan tempoh lanjutan dua tahun iaitu dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022.

Tony yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia turut memberi jaminan keadaan padang tidak lagi menjadi masalah, sekali gus membolehkan Harimau Malaya beraksi dengan cemerlang terutamanya sepanjang kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dari 5 September ini hingga 9 Jun 2020.

“Kami sedang menjalankan eksperimen terhadap enam jenis rumput dan akan memilih rumput yang paling bersesuaian dengan cuaca di negara ini bagi menghasilkan padang berkualiti tinggi. Kami menjalankan kerjasama dengan UPM (Universiti Putra Malaysia) bagi menjayakannya.

“Saya lebih gemar untuk membina padang di luar stadium dan hanya dibawa masuk ke dalam lima hari sebelum perlawanan berlangsung. Begitupun, kami perlu mendapatkan tenaga pakar dari luar seperti Singapura dan Thailand kerana saya tidak fikir kita boleh melakukannya secara sendirian,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE