Sama ada tidak tahan ‘dibahan’ atau malu ekoran ayat pedas Chatchai menjerut lehernya sendiri, penjaga gol berusia 31 tahun itu terus bertindak sedemikian setelah skuad Gajah Perang tersingkir di separuh akhir Piala AFF di laman sendiri, malam tadi.

Apa yang pasti, tindakan tersebut membolehkan Chatchai tidur dengan lena tanpa diganggu anasir nakal daripada penyokong Malaysia.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan Chatchai, di mana dia dilihat profesional ketika menerima provokasi daripada pemain simpanan Malaysia selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Bangkok semalam.

Selepas wisel penamat dibunyikan beberapa pemain simpanan Harimau Malaya meluru masuk ke dalam padang bagi mendapatkan Chatchai di gawang golnya, sebelum mengelilingi pemain Thailand itu.

Penjaga gol tinggi lampai itu dilihat tenang mengendalikan sindiran daripada pemain negara dan menghulurkan tangan untuk berjabat sebagai tanda ucapan tahniah kepada Malaysia.

Tindakan profesionalnya tidak terhenti di situ, Chatchai juga dilihat cuba menghalang serangan rakan sepasukannya yang berang dengan provokasi pemain Malaysia.

Malaysia mara ke final Piala AFF buat kali keempat dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2, dengan perlawanan akhir pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa depan sama ada berdepan Vietnam atau Filipina.- UTUSAN ONLINE