Tambahnya yang bermain dalam semua empat perlawanan di peringkat kumpulan, berkata keempat-empat pasukan yang layak ke pentas separuh akhir adalah yang terkuat dalam rantau Asia Tenggara dan masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Bermain di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang merupakan gelanggang keramat buat pasukan Harimau Malaya, Syazwan sekali lagi mengharapkan sokongan padu penyokong-penyokong untuk memenuhi stadium sekali gus menjadi pembakar semangat buat pemain negara.

“Sudah semestinya perlawanan menentang Thailand lebih mencabar dan sengit, tambahan bermain di peringkat separuh akhir. Saya pasti semua pasukan ingin melangkah ke peringkat akhir dan bakal bermain mati-matian.

“Bagi saya tiada perasaan takut atau gemuruh bertemu Thailand. Mungkin dari segi serangan mereka cukup berbahaya namun kita juga mempunyai kekuatan tersendiri, selain bakal mendapat sokongan padu daripada penyokong di laman sendiri.

“Jika terus diberi peluang oleh jurulatih (Tan Cheng Hoe) untuk beraksi, saya janji akan beri yang terbaik dan berusaha sedaya upaya menghalang gawang daripada dibolosi lawan dengan mudah,” katanya ketika sesi latihan di Padang A Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Sebelum ini, Presiden Persa­tuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin te­lah menetapkan sasaran kepada Cheng Hoe membimbing pasukan layak ke final Piala AFF.

Bagaimanapun, Malaysia terpaksa berdepan laluan getir di peringkat separuh akhir apabila bertemu Thailand yang memiliki pemain serba lengkap di setiap posisi, selain merekodkan 15 gol sepanjang empat perlawanan dalam saingan Kumpulan B.

“Kita tidak boleh membiarkan gawang dibolosi dan harus meraih bekalan selesa di sini (Bukit Jalil) sebelum turun pada aksi separuh akhir kedua di Bangkok.

“Buat masa ini, tiada kece­deraan, cuma rasa sedikit letih tetapi dengan tempoh masa rehat ini, pemain akan kembali cergas sepenuhnya,” ujarnya.