Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr. Shaharom Nor Azian Che Mat Din berkata, tiada kes yang melampaui tahap biasa dan keadaan masih terkawal.

“Tindakan awal sudah diambil bagi mencegah penularan seterusnya iaitu dengan melakukan disinfeksi pusat latihan pemain bola sepak di Padang Seri Gelam di sini dan pembersihan dari semasa ke semasa perlu dijalankan sebagai langkah pencegahan dan kawalan.

“Kedua pemberian suntikan prophylaxis iaitu influenza PFS vaccine kepada 31 orang termasuk pemain dan jurulatih. Begitu juga promosi kesihatan tatacara kebersihan diri yang betul dan penggunaan alcohol hand rub kepada kontak pesakit juga dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Sebelum ini seramai 17 pemain JDT dilaporkan dijangkiti virus berkenaan yang melibatkan 10 pemain pasukan utama JDT, empat pemain JDT II dan tiga pemain JDT III.

Jelasnya, influenza adalah penyakit disebabkan oleh virus yang berjangkit melalui sistem pernafasan dengan gejala utama seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, sakit otot dan kelesuan.

“Gejala dan tanda-tanda jangkitan adalah berbeza mengikut kategori umur mereka yang dijangkiti. Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim hanya menyebabkan demam selesema yang ringan pada orang biasa tetapi boleh menyebabkan jangkitan teruk seperti pneumonia kepada kumpulan risiko seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan demam selesema yang dilaporkan sebelum ini adalah disebabkan virus influenza bermusim antara lainnya meliputi Influenza A ataupun Influenza B.

Sebagai langkah-langkah pencegahan penularan jangkitan salur pernafasan, beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap membasuh tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitiser, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup sihat.

Dr. Shaharom berkata, bagi mereka yang mempunyai gejala jangkitan salur pernafasan adalah dinasihatkan untuk mengamalkan perkara-perkara berikut:

• Berehat di rumah dan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai. Sekiranya perlu ke tempat awam, mereka dinasihatkan untuk memakai penutup hidung dan mulut (face mask) dengan betul bagi mengelakkan penularan jangkitan melalui titisan pernafasan.

• Menutup hidung dan mulut dengan tisu, tuala atau sapu tangan apabila batuk atau bersin. Seterusnya, tisu yang telah digunakan perlu dibuang dengan segera ke dalam tong sampah.

• Mengelakkan dari berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sapu tangan dan sebagainya dengan individu yang lain.

• Membersihkan permukaan objek seperti lantai dan meja yang tercemar dengan rembesan cecair hidung dan mulut. Orang awam diminta segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk atau sakit tekak yang berterusan. Golongan berisiko juga digalakkan supaya mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim dari mana-mana fasiliti kesihatan swasta. - UTUSAN ONLINE