Selepas mengalahkan Gremio 1-0 untuk menjulang Piala Dunia Kelab buat kali ketiga di Abu Dhabi semalam, penyerang Real, Cristiano Ronal­do memberitahu, dia berharap untuk menerima perbarisan hormat (guard of honour) daripada pemain Barcelona apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi El Clasico di Santiago Bernabeu, Sabtu ini.

“Ia pasti sesuatu yang bagus dan saya mahu Barcelona memberi perbarisan hormat kepada kami,” kata Ronaldo yang meledak gol kemenangan.

Pengarah Sukan Barcelona, Guil­lermo Amor bagaimanapun me­negaskan, pemainnya tidak akan berbaris dan memberi tepukan.

“Kami ingin jelaskan bahawa kami hanya melakukan perkara itu apabila mengambil bahagian dalam kejohanan yang sama.

“Kalau kami bersaing dalam pertandingan tersebut maka kami akan melakukannya tetapi ia tidak berlaku,” kata Amor selepas pasukannya membe­lasah Deportivo 4-0 hari ini untuk mengukuhkan kedudukan pendahulu La Liga.

Sementara itu, jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde berkata, dia tidak pernah terfikir untuk memberi perbarisan hormat kepada Real.

“Kami baru menamatkan perlawanan (menentang Deportivo). Saya tidak sempat fikir tentang perkara itu,” katanya.

Mengulas mengenai aksi hujung minggu ini, Valverde me­negaskan, apa pun berlaku pasukannya tetap di landasan untuk merampas kejua­raan La Liga.

“Saya tahu ramai memban­dingkan kami dengan Real tetapi Atletico sebenar­nya paling hampir dengan hanya enam mata di belakang. Tidak kira apa berlaku pada Sabtu, masih ada cara untuk kami menjuarai La Liga,” katanya.

Belum kalah dalam 16 perlawanan meletakkan Barcelona mengumpul 42 mata, enam me­ninggalkan Atletico. Valencia di tempat ketiga dengan 34 mata, diikuti Real (31). – AGENSI