Kane dilaporkan tidak dapat beraksi sehingga Mac depan akibat kecederaan buku lali dalam masa sama Pochettino sedar ketiadaan penyerang itu boleh menjejaskan misi Spurs dalam kempen musim ini.

“Kami sentiasa terbuka memperbaiki skuad dan menambah pemain yang mampu meningkatkan kualiti tetapi saya fikir ia tidak memberi tekanan kepada kami untuk menandatangani pemain baharu.

“Saya fikir ia tidak mengubah pandangan kami terhadap skuad.

“Kami tahu pasaran sekarang sangat sukar dalam masa sama kami tidak mempunyai banyak pilihan mencari pemain yang mampu membantu kami.

“Apabila dia menjadi salah seorang penyerang terbaik Eropah maka sudah pasti ketiadaannya akan menjejaskan kemampuan pasukan,” kata Pochettino.

Selepas ini Spurs akan berdepan beberapa perlawanan penting yang memerlukan keputusan positif bagi menghidupkan peluang kelab berkenaan meraih keputusan cemerlang musim ini.

Ketika ini Spurs berada di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris, kurang sembilan mata di belakang pendahulu Liverpool.

Dalam perlawanan Ahad ini Spurs akan berkunjung ke Fulham dengan misi memburu tiga mata bagi mengukuhkan cengkaman dalam kelompok empat pasukan teratas.

Cabaran Spurs juga akan berterusan berikutan akan berdepan Chelsea dalam separuh akhir kedua Piala Carabao selepas menang 1-0 sebelum ini dan menentang Crystal Palace dalam pusingan keempat Piala FA sebelum menentang Borussia Dortmund di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara. - AGENSI