Selaku pendahulu liga, UiTM FC gagal melebarkan jumlah kutipan mata apabila tewas 1-2, sekali gus berkongsi 26 mata bersama pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) selepas 14 perlawanan.

Presiden UiTM FC , Prof. Dr. Azizan Abdullah berkata, skuad ‘The Lion Troops’ akan mengambil peluang dalam baki enam perlawanan untuk tidak tercicir sebarang mata dan meraih gelaran juara Liga Perdana, sekali gus mengesahkan slot Liga Super.

“Kita perlu menang dalam tiga lagi perlawanan untuk melonjak ke Liga Super,”katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahlil dan Berbuka Puasa UiTM FC di Intekma Resort, di sini, hari ini.

Dua pasukan teratas Liga Perdana akan layak beraksi dalam Liga Super musim depan.

Terdahulu, beliau yang merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, turut menyampaikan sumbangan derma kilat kepada keluarga bekas jurulatih pasukan Piala Presiden UiTM, Allayarham Anuar Abu Bakar yang meninggal dunia pada 6 Mei lalu akibat kanser hati tahap empat.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad. - BERNAMA