Thanabalan sudah meledak empat gol sepanjang kempen Sukan SEA 2017 dengan tiga daripadanya di peringkat kumpulan dan pemain berusia 22 tahun itu dilihat sebagai calon terbaik untuk menjadi penjaring terbanyak Malaysia pada edisi kali ini.

“Saya tidak mempunyai magis cuma berusaha, itu sahaja. Terima kasih kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan begitu juga dengan rakan-rakan saya.

“Jaringan saya banyak diperoleh menerusi hantaran lintang dan sepakan sudut. Sekiranya kawan-kawan saya tidak bagi bola macam itu kepada saya, tidak mungkin saya dapat menjaringkan gol.

“Menjadi penjaring terbanyak bukan matlamat utama saya kerana yang penting kita menang demi Malaysia. Itu lagi bagus,” katanya kepada pemberita selepas menjaringkan gol tunggal perlawanan menewaskan Indonesia 1-0 di Stadium Shah Alam, semalam.

Tambah penyerang Felcra FC itu, dia mengakui tandukan merupakan senjata kegemarannya berbanding melakukan rembatan kerana beranggapan teknik tersebut lebih tepat dan sukar dibaca oleh penjaga gol lawan.

“Menanduk bola adalah kegemaran saya sebab saya kurang gemar menggunakan kaki. Sebelum ini, sudah banyak jurulatih yang pernah mengajar saya berkata, antara kaki dengan kepala, kepala lagi tepat sebab penjaga gol susah nak selamatkan. Rembatan boleh diselamatkan tetapi dengan tandukan ianya sukar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan menentang Thailand dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini, Thanabalan menggesa agar rakan sepasukannya memburu kemenangan bagi membalas dendam selepas kecundang 3-0 sewaktu kempen Kelayakan Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok pada bulan lalu.