Jelas pemain berusia 22 tahun itu, dia perlu menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang sesi latihan kerana persaingan mendapatkan kedudukan penyerang cukup sengit.

“Saingan kali ini cukup hebat sebab tujuh penyerang dipanggil pada pemilihan dan saya perlu memberi persembahan terbaik. Antara yang perlu diberi perhatian adalah Muhammad Safawi Rashid dan S. Kumaahran.

“Sama ada saya terpilih atau tidak itu terpulang kepada jurulatih (Datuk Ong Kim Swee),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di padang latihan Sime Darby dekat sini.

Jurulatih pasukan B-22 negara, Kim Swee menyenaraikan 27 pemain untuk menghadapi Sukan SEA 2017.

Sementara itu, Amierul Hakimi Awang berkata, selain memberi komitmen sepanjang sesi latihan diadakan, penjaga gol Terengganu itu berharap agar dua penampilannya dalam kempen Kelayakan Kejohanan B-23 AFC dapat mempengaruhi keputusan jurulatih.

“Itu salah satu sebab untuk saya berasa lebih yakin. Walau bagaimanapun saya tidak boleh memandang rendah kerana Haziq Nadzli dan Mohd. Ifwat Akmal Chek Kassim juga hebat. Bagi saya semuanya terpulang kepada rezeki masing-masing,” katanya.