“Kami mahu bertemu Indonesia dalam final kerana mereka adalah pasukan yang lebih baik berbanding Malaysia,” kata penyerang muda berusia 21 tahun itu kepada pemberita di sini, hair ini.

Sittichok percaya, pasukannya mampu menumpaskan Myanmar apabila kedua-dua pasukan berentap dalam separuh akhir di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok.

“Pertahanan Malaysia mudah dibolosi dan jentera serangan mereka juga tidak begitu efektif lebih-lebih lagi mereka akan menentang pasukan kuat seperti Indonesia.

“Kami pernah menewaskan Malaysia (3-0) dalam Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, bulan lalu dan jika diperhatikan Malaysia dibolosi satu gol dalam keempat-empat perlawanan peringkat kumpulan.

“Berbeza dengan Indonesia yang mana kami menganggap mereka sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara. Dalam dua pertemuan terakhir menentang Indonesia, kami mencatat keputusan seri.

“Jika kami dapat menewaskan Myanmar pastinya Indonesia menjadi pilihan saya dalam perlawanan akhir,” ujarnya lagi.

Thailand mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B selepas menundukkan Vietnam 3-0 dalam aksi terakhir kumpulan, sekali gus mengutip 13 mata diikuti Indonesia di tangga kedua dengan 11 mata.

Sementara itu, penyerang Myanmar, Aung Kaung Mann berkata, pasukannya memiliki kelebihan berbanding Thailand kerana mendapat rehat lebih sehari.

“Kami mempunyai lima hari rehat, jadi saya percaya kami lebih segar dan bermotivasi untuk menghadapi perlawanan separuh akhir.

“Thailand sudah tentu lebih penat kerana bermain dalam lebih banyak perlawanan dalam Kumpulan A, selain hanya ada sehari untuk berehat. Kami akan menggunakan kelebihan ini,” ujarnya.