Diturunkan kali pertama, penyerang import baharu Negeri Sembilan, Igor Carneiro Luiz dari Brazil tampil garang dengan menjaringkan gol tunggal pasukan itu pada minit ke-30.

Pemain berusia 29 tahun itu menyambar peluang di depan pintu gol lawan ketika bola rembatan kencang rakan sepasukannya, Jose Almir Barros Neto melantun ke arahnya selepas ditepis penjaga gol TFC II, Mohd. Shamirza Yusoff.

Negeri Sembilan yang menduduki tangga ketujuh liga dengan 13 mata mengasak kubu lawan sejak perlawanan dimulakan pada pukul 10 malam sempena bulan Ramadan kali ini.

Separuh masa kedua, anak buah Mohd. Zan Mat Aris menggandakan asakan ke kubu TFC II namun gagal menyudahkan peluang.

Sementara rangkaian penyerang TFC II, Akanni Sunday Wasiu dan Bruno Junichi Suzuki tidak berupaya mencipta peluang diharapkan.

Kedudukan itu kekal hingga ke akhir perlawanan. - UTUSAN ONLINE