Keputusan itu menyaksikan TFC II berkongsi tujuh mata dengan UKM FC, namun UKM FC kekal mendahului carta Kumpulan B menerusi kelebihan perbezaan jaringan, manakala Selangor United kekal menghuni tangga tercorot daripada empat pasukan setelah gagal meraih sebarang mata selepas tiga perlawanan setakat ini.

Pada aksi di Selayang, bekas penyerang kebangsaan, Mohamad Ashari Samsudin meletakkan pasukan pelawat di hadapan pada minit ke-17 setelah menolak masuk hantaran Bruno Suzuki.

Mohamad Ashari meledak gol peribadi kedua, selang dua minit kemudian menerusi sepakan lencong daripada dalam kotak penalti yang menerjah masuk penjuru kanan gawang pasukan Selangor United.

Pasukan tuan rumah kembali bangkit menyusun permainan dan berjaya meraih gol pertama menerusi percubaan menarik luar kotak penalti oleh Muhammad Eizrul Asfraf Nor Effendy pada minit ke-20, sebelum Nurshamil Abd Ghani menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-41 setelah menolak masuk hantaran pemain import dari Korea Selatan, Hwang Sin Yang.

Ketika perlawanan seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, Bruno Suzuki muncul wira pasukan TFC II apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 hasil hantaran pemain gantian, Muhamad Firas Mohd Tarmizi dan keputusan 3-2 itu kekal sehingga tamat perlawanan. - BERNAMA