ABDUL FAIZAL WAHID
ABDUL FAIZAL WAHID

Natijahnya, Badan Bertindak Penyokong Selangor hari itu turun ke Stadium Shah Alam dengan memakai jersi merah kuning bagi membantah tindak-tanduk kerajaan negeri selain mendesak agar Mohamed Azmin dan Pesatuan Bolasepak Selangor (FAS) segera duduk semeja menyelesaikan isu tersebut.

Pada masa yang sama, badan itu juga akan menghantar memorandum kepada Mohamed Azmin esok yang mengandungi petisyen sebanyak 15,000 tanda tangan penyokong The Red Giants, yang mahu Stadium Shah Alam menjadi gelanggang tuan rumah selain menuntut bola sepak tidak dipolitikkan.

Jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Mohd. Firdaus Abdul Mutalib berkata, kemelut yang merugikan tersebut nyata amat mengecewakan kerana belum pernah pasukan The Red Giants terpaksa bermain di luar dari Shah Alam sejak stadium berkenaan digunakan dari tahun 1990-an.

“Kami rakyat Selangor mahu Stadium Shah Alam ini menjadi gelanggang tuan rumah buat The Red Giants. Bola sepak sukan nombor satu rakyat dan adalah amat tidak patut menjadi mangsa politik kerajaan ne­geri atau mana-mana pihak sehingga menyusahkan para peminat.

“Kepada Menteri Besar, selesaikan isu ini dengan segera, cari pendekatan bagi membolehkan kerajaan negeri, FAS dan wakil daripada kami boleh duduk semeja bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pintu masuk Stadium Shah Alam di sini hari ini.

Yang hadir sama Presiden Anak Selangor Fans Club, Abdul Faizal Wahid dan Timbalan Pengerusi Alumni Gerakan Belia 4B Kota Raja, Muhd. Ali Zakariah.

Mengulas isu yang sama, Abdul Faizal pula berkata, penyokong-penyokong Selangor akan menghadapi masalah jika stadium bagi gelanggang tuan rumah bertukar ke Kuala Lumpur kerana ahli-ahli kelab majoritinya berpangkalan di Shah Alam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan bahawa FAS yang bosan dengan ‘permainan’ kerajaan negeri berhasrat membina sebuah stadium baharu.

Selangor dinafikan beraksi di stadium tersebut susulan masalah dalaman antara FAS dan kerajaan negeri sejak penghujung 2016.

Sementara itu, Muhd. Ali memberitahu, Mohamed Azmin harus membantu pasukan Selangor yang membawa nama negeri.

“Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor harus memberikan dana kepada pasukan Selangor tanpa syarat kerana bola sepak adalah sukan rakyat dan wajar dibantu,” katanya.