Terengganu sebelum ini dipalit dengan kontroversi pergaduhan ketika menentang Johor dalam aksi kumpulan di Stadium UPSI Tanjung Malim pada 10 September lalu. Insiden itu juga menyebabkan Terengganu tidak dapat menurunkan Mohammad Rahmat Makasuf, Mohamad Shafawi Mohamad dan Muhamad Fakrul Wahid yang digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya berharap apa yang berlaku sebelum ini pemain dapat mengambil iktibar dan saya sentiasa memberi nasihat kepada mereka agar tidak bertindak balas terhadap sebarang provokasi yang dilakukan lawan untuk aksi seterusnya.

“Apabila digantung tiga perlawanan ia menjadi pengajaran berguna untuk kesemua pemain. Saya juga memberitahu kepada pemain agar tidak mengutip walau satu kad kuning untuk aksi separuh akhir ini.

“Saya juga ada menasihati pemain agar menjaga nama negeri Terengganu dan bermain demi maruah negeri dan bukannya mencemarkan nama baik negeri sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.