Tegasnya, kemampuan pemain menyesuaikan diri dalam cuaca sejuk itu adalah antara faktor penting dalam dia membuat pemilihan pemain yang akan beraksi dalam kejohanan di China Januari depan.

Skuad bawah 22 tahun negara kini berada di Korea Selatan dalam persediaan mereka untuk menghadapi kejohanan tertinggi di Asia bagi peringkat umur itu. Sepanjang berada di negara K-Pop itu, skuad 26 pemain yang dibawa Kim Swee dijadualkan bermain dalam tiga perlawanan persahabatan.

Bagaimanapun, Kim Swee menyedari pemainnya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di luar kebiasaan mereka tetapi menjangkakan skuadnya akan serasi terhadap perubahan cuaca dalam tempoh tiga ke empat hari.

“Apa yang saya ingin lihat dalam perlawanan persahabatan itu nanti adalah pemain dapat mengikut arahan dan mampu bermain dalam cuaca yang begitu sejuk yang saya fikir adalah kriteria utama (untuk dipilih ke dalam skuad).

“Jika mereka tidak mampu menyesuaikan diri, mungkin itu akan menjadi salah satu faktor (pemain digugurkan) namun semuanya terpulang dalam tiga perlawanan persahabatan di sana nanti.

“Apapun, saya tahu pemain tetap memerlukan tiga ke empat hari untuk menyesuaikan diri dan selepas itu kita akan melihat tahap kemajuan setiap pemain memandangkan kita perlu fokus kepada pendekatan serta apa yang kita ingin lakukan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), malam tadi.

Skuad muda negara terbang ke Mokpo, Korea Selatan malam tadi untuk mengharungi kem latihan pusat selama dua minggu hingga 30 Disember dan bakal menentang Mokpo City (20 Disember), Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember).

Sepanjang berada di Mokpo, Kim Swee akan memberi fokus kepada memperbaiki segala kelemahan yang dikesannya sepanjang skuadnya menjalani latihan di ibu negara.

“Saya ibaratkan latihan di Korea Selatan ini adalah sebagai latihan fasa kedua dan ini peluang kita untuk melakukan penambahbaikan dari segala aspek sebelum latihan fasa ketiga di China nanti.

“Saya hanya mahu berfikiran positif dan kalau terjadi apa-apa masalah ketika di Korea Selatan nanti, sudah tentu kita ada pelan alternatif yang boleh diambil,” jelasnya.