Malaysia membawa misi wajib menang jika mahu meneruskan kemaraan ke suku akhir, sekali gus menghidupkan peluang untuk layak ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru, tahun depan.

Berdepan juara dua kali, Jepun di Stadium Nasional, Bukit Jalil bukan tugas mudah, apatah lagi Malaysia juga masih dihantui dengan kekalahan 4-0 kepada pasukan itu dalam saingan kelayakan di Indonesia pada 24 September tahun lalu.

Begitupun Sikh Izhan Nazrel menegaskan, dia tidak rela luka lama berdarah kembali dan mahu menyerap sokongan padu penonton tempatan untuk menebus kekalahan terakhir kepada Jepun.

“Kami pernah bertemu Jepun sekali di Indonesia dan saya tidak rela mengulangi keputusan perlawanan. Kali ini, saya percaya kami sudah belajar daripada kesilapan akan memberikan persembahan lebih baik untuk mencari kemenangan.

“Kekalahan kepada Thailand juga bukan bermakna misi kami telah berakhir. Saya percaya, jika kami mampu memberikan persembahan terbaik, fokus 100 peratus, tidak mustahil kejutan mampu dilakukan,” ujar penjaga gol utama negara itu.

Malaysia memulakan kempen Kejohanan B-16 AFC dengan menang besar 6-2 ke atas Tajikistan, Khamis lalu tetapi tewas 2-4 kepada Thailand, Ahad lalu selepas terpaksa mengharungi permainan dengan 10 pemain akibat layangan kad merah yang diterima penjaring terbanyaknya, Luqman Hakim Shamsudin pada awal babak kedua.

Menurut Sikh Izhan Nazrel, tiga rangkaian serangan Jepun - Ryotaro Araki, Jun Nishikawa dan Hikaru Naruoka perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan.

Sementara itu, pemain sayap pasukan negara, Alif Mutalib percaya, jurang antara Malaysia dan Jepun tidak terlalu besar, malah kedua-dua pasukan mempunyai kualiti yang sama.

“Kami hanya perlu lupakan kekalahan 2-4 kepada Thailand. Ketiadaan Luqman Hakim sudah tentu dirasai tetapi kami ada pilihan pemain yang lain,” katanya.

Malaysia wajib menang untuk layak ke suku akhir manakala Jepun hanya memerlukan keputusan seri tanpa jaringan. - UTUSAN ONLINE