Ketua Jurulatih Uzbekistan, Ravshan Khaydarov berkata, pasukannya melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi Jepun dengan menganalisis setiap perlawanan mereka.

Jaringan babak pertama menerusi Javokhir Sidikov, Jasurbek Yakhshiboev dan Dostonbek Khamdamov membolehkan Uzbekistan mendahului selesa 3-0, sebelum Yakshiboev melengkapkan kemenangan 4-0.

Menanti skuad White Wolves pada separuh akhir, Jumaat depan adalah pemenang antara naib juara 2016, Korea Selatan yang akan bertemu Malaysia di Kunshan, esok.

“Pada separuh masa pertama kami bermain dengan sangat baik kerana kami tahu bagaimana cara Jepun bermain, terutama ketika mereka mendapat bola. Kami memberi tekanan berterusan kepada mereka.

“Cara kami mendapatkan tiga gol pertama adalah cara yang sama kami gunakan ketika berlatih. Pemain mengikut strategi yang diberikan,” kata Khaydarov yang dipetik dalam laman web rasmi AFC hari ini.

Kedua-dua pasukan turut bertafakur selama seminit sebelum perlawanan bermula sebagai memperingati 52 rakyat Uzbekistan yang terkorban dalam kemalangan bas di Kazakhstan, semalam.

“Kemenangan hari ini untuk keluarga mangsa yang terkorban semalam.

“Tragedi di Kazakhstan memberi kesan terhadap mentaliti pemain kami tetapi Persekutuan Bola Sepak Uzbekistan memberitahu kami supaya memberikan segala-gala yang termampu dan lakukan yang terbaik untuk menceriakan rakyat kami,” katanya lagi.

Sementara itu, satu lagi saingan suku akhir menyaksikan Qatar menumpaskan 10 pemain Palestin 3-2 di Pusat Olimpik Changzhou untuk menempah pertemuan dengan pemenang antara Iraq dan Vietnam yang bersaing malam esok.

Dua gol Qatar disempurnakan oleh Almoez Ali pada minit ke-32 dan 34, sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol, manakala jaringan ketiga disempurnakan Hashim Ali pada minit ke-53.

Walaupun meneruskan permainan dengan 10 pemain selepas Mohammed Bassim dibuang padang pada minit ke-77 kerana menerima kad kuning kedua, namun Palestin menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila merapatkan jurang menerusi Oday Dabbagh (minit ke-60) dan Mohamed Darwish (87).

Begitupun kebangkitan yang cuba dilakukan oleh anak-anak buah Ayman Sandouqa sudah terlalu lewat. - UTUSAN ONLINE