Penolong Ketua Jurulatih Lang Merah, Victor Andrag berkata, gol yang dihasilkan oleh pertahanan, Renan Alves itu antara hasil perbincangannya bersama Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak untuk mencuba strategi yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Gol pertama yang diperolehi adalah hasil perbincangan kami dalam mengatur strategi. Akhirnya kami berjaya mendapat jaringan awal bermula dengan gerakan sepakan sudut.

"Jika dilihat pada keseluruhan permainan, kami banyak mencipta peluang dan nyaris mendapat dua atau tiga lagi peluang gol termasuk percubaan yang hampir sama dilakukan Renan untuk gol pertamanya," katanya.

Dalam aksi di hadapan kira-kira 7,000 orang penyokong Lang Merah semalam, jaringan Renan dan Zaquan Adha Abd. Razak memastikan Kedah layak ke saingan suku akhir Piala FA selepas membenam PJ City 2-0.

Sementara itu, Victor berkata, mereka juga telah melakukan analisis perlawanan PJ City ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mendapatkan input berguna sebagai perancangan mengatur strategi tersebut.

"Kami pernah bertemu mereka sebelum ini dan menjangkakan mereka akan beraksi secara kompak jadi kami cuba atur banyak gerakan serta serangan melalui pemain sayap," katanya yang memuji komitmen pemain memikul tanggungjawab masing-masing walaupun tanpa kendalian Aidil Sharin di padang.

Kata Victor, perlawanan seterusnya dalam aksi Liga Super menentang Melaka, Ahad ini akan kembali diambil alih oleh Aidil Sharin selepas beliau menamatkan kursus kejurulatihan Diploma Profesional AFC selama 11 hari di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Penolong Ketua Jurulatih PJ City, Hong Seng Leong mengakui gol awal yang dihasilkan pada awal babak pertama dan kedua mengendurkan rentak serangan anak-anak buahnya.

"Kami melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini, namun gol yang di hasilkan Kedah seawal minit kedua bermula dari sepakan sudut sedikit menjejaskan serangan.

"Kami cuba bangkit pada babak kedua, malangnya gol kedua Kedah pula hadir kurang 10 minit selepas aksi separuh masa kedua bermula sekali gus menyebabkan pemain kami hilang fokus termasuk kelemahan dalam hantaran dan lain-lain.

"Apabila beberapa percubaan yang dilakukan tidak berhasil mereka cuba melakukan usaha mengikut percubaan individu dan itu yang menyebabkan beberapa pertikaian terjadi antara pemain," katanya.- UTUSAN MALAYSIA