Ketika perbincangan tentang masa depan pemain antarabangsa Denmark itu belum dapat diselesaikan, Pochettino berkata, selagi itulah kemungkinan Eriksen berhijrah ke kelab lain tetap ada.

Malah Eriksen sendiri yang kontraknya akan tamat penghujung musim ini sudah mendedahkan mahu mencari cabaran baharu di luar Liga Perdana Inggeris sehingga sanggup menolak tawaran Manchester United.

“Sudah tentu ia keadaan yang tidak baik buat kelab dan pemain itu sendiri. Ini turut diakui pengerusi kelab, Daniel (Levy) ketika kami berbincang mengenainya semalam.

“Bagaimanapun saya bersikap terbuka sama ada mahu Eriksen menandatangani kontrak baharu atau dijual. Saya akan bantu Daniel dalam soal ini kerana ia bukan mudah untuk membuat keputusan,” katanya menjelang aksi menentang Newcastle esok.

Pochettino sebelum ini tidak menurunkan Eriksen dalam aksi pembukaan musim ini menentang Aston Villa berikutan khabar pemain itu akan berhijrah. Bagaimanapun dua menukar fikiran dengan menyenaraikan Eriksen semula ketika seri 2-2 dengan Manchester City minggu lalu.

Malah pengendali dari Argentina ini juga dilihat masih menaruh kepercayaan tinggi terhadap fokus yang diberikan Eriksen yang tampak tidak langsung terjejas dek spekulasi perpindahannya ke kelab lain.

"Dia masih mempunyai satu tahun kontrak lagi. Bukan mudah pemain sepertinya menghadapi spekulasi seperti ini. Tetapi saya kagum dengannya kerana tidak terjejas dengan keadaan yang berlaku,” tegasnya. - AFP