Selepas tersingkir daripada saingan Copa del Rey dan menyaksikan impian memburu gelaran La Liga juga kian kelam, sekiranya ditimpa kekalahan ketiga dalam masa seminggu, ia hanya memburukkan keadaan Real.

“Kami perlu bangkit. Inilah minggu yang paling memeritkan pernah saya alami sejak berada di sini,” kata pertahanan, Dani Carvajal.

Ajax sepatutnya mencatat keputusan lebih baik berbanding kekalahan 1-2 di Amsterdam, apabila membiarkan pencabar mereka memiliki kelebihan menjelang aksi timbal balik kedua di Santiago Bernabeu, esok.

Namun, ditimpa kekalahan ketiga berturut-turut di laman sendiri buat kali pertama dalam tempoh 15 tahun, ia hanya akan meletakkan Real semakin tertekan.

Solari juga, jurulatih yang diberi kontrak sehingga 2021 sewaktu dilantik hanya lima bulan lalu, bakal berdepan acaman kehilangan pekerjaan jika Ajax mampu melakukan sesuatu di luar jangkaan dan layak ke suku akhir.

Kritikan yang dilemparkan Jose Mourinho sewaktu tampil sebagai pengulas untuk stesen televisyen, bEIN Sports sewaktu perlawanan El Clasico akan dilihat sebagai individu yang cuba memanfaatkan peluang, tetapi pada hakikatnya jurulatih itu masih dihormati di Real. Tidak seperti pengganti berpotensi lain, Mourinho boleh didapatkan khidmatnya segera.

Bagaimanapun, apa yang menjadi persoalan kini ialah mampukah Solari mempamerkan kebangkitan dalam keadaan yang sangat tertekan.

“Kami perlu terus bekerja keras dan mencatat kemenangan. Kami ada satu lagi final dalam Liga Juara-Juara dan kami akan terus berjuang,” kata kapten, Sergio Ramos. – AFP