Malaysia menghuni tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata selepas dibelasah 4-1 oleh Iraq dalam perlawanan pertama Rabu lalu manakala Jordan di tempat ketiga berkongsi satu mata dengan Arab Saudi.

Iraq berada di tangga teratas apabila mengutip tiga mata.

Jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berkata, peluang negara untuk layak ke peringkat suku akhir masih terbuka dengan hanya memenangi pertemuan menentang Jordan walaupun menyedari mereka adalah lawan yang sukar.

“Peluang masih ada untuk layak walaupun kita tewas dalam aksi pertama, cuma kita tidak boleh kalah menentang Jordan.

“Saya tidak nafikan, atas kertas Jordan pasukan pilihan selain Arab Saudi yang memiliki kekuatan seimbang dan hampir sama dengan Iraq,” katanya ketika ditemui pemberita di Padang Latihan Haiyu, di sini hari ini.

Skuad Al-Nashama mempunyai rekod yang baik apabila memenangi tempat ketiga dalam edisi pertama pada 2013 serta layak ke peringkat suku akhir dua tahun lalu.

Antara pemain berbahaya dimiliki Jordan ialah kapten, Baha Faisal Mohammad yang meledak dua gol ketika seri 2-2 menentang Arab Saudi pada Rabu lalu.

Berdasarkan aksi pertama Jordan, skuad kendalian Iain Richard Brunskill bijak mengatur serangan malah Arab Saudi sukar memasuki kawasan kotak penalti mereka.

Bagaimanapun, kesilapan di saat akhir telah menyebabkan Jordan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.