Pengurus pasukan Perak, Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang mengesahkan perkara itu berkata, peluang Muhammad Shahrel untuk menyertai Perak begitu cerah dan perbincangan mengenai kontrak pemain itu sedang dijalankan.

Menurutnya, Pafa berbesar hati untuk 'mengundang' pemain yang sebelum ini dipinjamkan kepada Kelab Liga Divisyen 1 Thailand, Nakhon Ratchasima FC itu dan hanya menunggu persetujuan daripada Muhammad Shahrel.

"Ya kita sudah berbincang dan saya yakin dalam masa terdekat kita akan dapat persetujuan beliau.

"Peluang beliau menyertai Perak amat cerah. Cuma ada sikit masalah iaitu persetujuan beliau dengan Pafa mengenai syarat yang diletakkan untuk sama rata dalam kalangan semua pemain agar tidak ada perasaan berbelah bahagi, biar sama rata dari segi kontrak semua pemain," katanya.

Beliau ditemui pada majlis perkahwinan penjaga gol pasukan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan pasangannya, Farah Nadiah Mohammad Khalim, 24, di Kelab

Golf Diraja Perak di sini hari ini.

Muhammad Shahrel Fikri sebelum ini mengakui dia mendapat lamaran untuk beraksi bersama Perak dan berada dalam dilema untuk kekal di PKNP atau menyertai Perak.

Menurutnya, dia masih sayangkan PNKP setelah mencipta nama bersama pasukan itu.

Sementara itu, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, persiapan pasukannya untuk mengharungi musim depan berjalan lancar.

Menurutnya, beliau akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dalam tempoh terdekat.

"Sasaran saya musim depan ialah untuk menang seberapa banyak perlawanan," katanya. - UTUSAN ONLINE